Friday, November 27, 2009

Sesat di Gunung Tebu

5 sekawan sesat di Gunung Tebu berjaya keluar



BESUT: Lima rakan, seorang daripadanya wanita yang sesat semalaman di kawasan rekreasi Gunung Tebu, berjaya keluar ketika operasi mencari mereka sedia untuk digerakkan.

Mohd Asri Awang, 23; Mohd Nor Iqbal Yusli, 18 kedua-duanya berasal dari Machang, Kelantan dan tiga rakan mereka yang berasal dari Kampung Anak Musang, dekat sini, Mohd Khaidir Che Noh, 25; Mohd Shahidan Salleh, 14 dan rakan wanita yang hanya ingin dikenali Wan Haneesu, 22, tidur di celah pokok sementara menunggu hari siang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Roslan Hassan, berkata pihak polis dimaklumkan Mohd Asri dan Wan Haneesu mendaki Gunung Tebu untuk mencari bahan bagi tujuan perubatan tengah hari semalam.

Pada kira-kira jam 4 petang, mereka berdua sudah menghubungi tiga rakan mereka yang menunggu di kaki Gunung Tebu untuk menghantar makanan.

Bagaimanapun, selepas kelima-lima remaja itu yang sepatutnya turun semula pada jam 7 petang semalam tidak berbuat demikian, bapa saudara Mohd Asri, Mohamad Awang membuat laporan polis.

Sementara itu, ketika ditemui di kaki Gunung Tebu pagi ini, Mohd Asri berkata, mereka tersasar laluan ketika cuba turun petang semalam berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap.

Selepas mencuba sejak dari awal pagi, mereka berjaya tiba di lokasi rekreasi Lata Belatan kira-kira jam 11 pagi.

Kesemua mereka bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan namun agak keletihan sebaik tiba di kaki gunung berkenaan.

Mohd Asri bagaimanapun enggan menceritakan mengenai bahan yang dicari beliau dan rakan-rakannya di kawasan berkenaan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...